Tuesday, November 13, 2012

Cerita Hati - Cerita Di Antara Kamu & Tuhan


Cerita hati.

Ianya bukan cerita kesedihan. Tapi cerita di antara kamu dan Tuhan. Dialah segala pemilik hati-hati.

Bicara soal hati. Aku mudah mengikut gerak hati. Keputusanku dipengaruhi gerak hati, tidak lebih pada rasional, dan tidak lebihnya pada emosional. Aku berada di tengah-tengah. Tanpa ku sedar, selama ini aku mudah mengikut gerak hati dalam membuat setiap keputusan. Itupun selepas aku bertemu dengan seorang 'pentafsir hati'. Tidak ku duga, segala tafsiran yang dilontarkan dari mulutnya menjadi tepat 100% pada diriku, tanpa sempat aku membuka cerita. Hanya terdiam, menangis. Penyelesaiannya ada, semuanya pada diri. Alhamdulillah, masa-masa sukar telah berlalu. Syukur.




Masa Senang ku:
Bila dapat kawan baru, aku syukur.
Bila dapat suasana baru, aku syukur.
Bila aku mampu membahagiakan orang lain dengan kata-kataku, aku syukur.
Bila diri diidolai, aku syukur.

Hati cuba membuka cerita pada Allah (dalam masa yang singkat), sambil baring, sambil duduk termenung, "Ya Allah, terlalu baik orang yang Kau temukan pada aku. Tunjukkanlah hikmahMu Ya Allah." Hati sepintas lalu berkata. Allah dengar, Allah jawab. Dia temukan aku dengan orang-orang yang pernah aku kenali, tapi tidak pernah serapat kini. Allah hantarkan suasana baru, biar aku tidak menangis keseorangan. Dia hantarkan teman-teman baru supaya jiwaku terisi alunan rohani. Naluriku tersentuh, hiba. Kawan-kawan baru sama memimpin -  berpuasa, beriftar, berqiam, belajar - semuanya bersama-sama. Tidak pernah ku rasakan ukhuwah sehebat ini. 

Pernah aku cerita pada Allah, "Ya Allah, mampukah penulisanku menjadi tatapan manusia? Sungguh, kadangnya aku sendiri rasa tidak menarik." Hari itu, aku duduk beramai-ramai sambil minum bersama sahabat-sahabat seperjuangan. Tiba-tiba, datang seorang hamba Allah menegurku. Dia kagum dengan penulisanku. Dia mengidolaiku. Dia ikuti setiap perkembangan facebookku, blogku dan twitterku. Tidak pernah hati terdetik, setiap apa yang ditulis mampu menjadi pemangkin dan pengubat hati jiwa yang lain. Subhanallah. Hati tersentuh. Sebak. Terasa diri tidak layak.

Masa Sukar ku:
Blackberry ku hilang.
Hati masih tenang mencari.
Mencari dan mencari di setiap sudut yang jatuh.
"Betullah, hilang." Aku pasrah.

Beli yang lain, dalam hati sudah totally redha dengan apa yang berlaku. Namun, gerak hatiku mengiyakan tempat itulah yang hilang. Tidak tahu di sudut mana ia terjatuh. Hati mengiyakan berkali-kali pada Allah, "Ya Allah, kat tempat itulah bendaku hilang. Kenapa aku rasa ianya tetap ada di situ?" Tipu kalau aku tidak menangis. Aku menangis, kerana ianya hadiah pemberian daripada seseorang. Betullah, setiap kesusahan yang menimpa, mendekatkan aku lagi denganNya. Sejak kejadian itu, aku cuba melakukan solat sunat sebanyak mungkin. Mataku terus-terusan berair hingga basahnya kelopak air mata. Terasa aku lalai sebelumnya, sebab itulah aku diuji. Biarpun redha, gerak hati tetap mengatakan aku akan menemui handsetku kembali. Aku yakinkan hati pada Allah bahawa aku akan menjumpainya satu hari nanti. Sebulan berlalu, akhirnya aku mendapat berita gembira bahawa Blackberry ku sudah dijumpai. Gembira tidak terkata, aku sujud syukur menangis kepadaNya.

Lihatlah, betapa hebatnya luahan cerita di antara Sang Hati dengan Tuhannya. Sungguh, Dia Maha Mengerti apa yang kita rasa. Dia Maha Mendengar dan Teliti setiap rintihan dan persoalan hamba-hambaNya. Ku sarankan, jangan pernah cuba membina tembok di antara Sang Hati dengan Yang Esa. 

Kamu bercakap, kamu marah, kamu berzikir, kamu syukur, kamu merintih, kamu meng'update status' - itu semuanya cerita-cerita yang telah kamu katakan pada Allah. Yakinlah, Dia Maha Mengetahui.

3 comments:

nabila azmi said...
This comment has been removed by the author.
nabila azmi said...
This comment has been removed by the author.
nabila azmi said...

and of course..i'll always be one of your fan at this cute blog..hehe...

suke your handwriting here...